Thursday, June 2, 2016

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 (Kategori Kanak-kanak dan Remaja)



KUMPULAN PUISI REMAJA

...Setelah diteliti sebuah kumpulan puisi Mimpi Kotaku karya Hilmi Rindu diangkat untuk menerima HSPM 2014 untuk kategori ini.

Kumpulan puisi ini mengandungi 49 buah puisi yang dipecahkan kepada tema besar seperti tumbuh-tumbuhan (Selupat Pucuk), barangan dalam rumah (Rumah), makanan tradisional (Sayur Lemak Pucuk Kemudu), dan kemasyarakatan (Mimpa Kota). Puisi-puisi yang dipaparkan banyak membawa kisah lampau pada zaman remaja dan kanak-kanak, namun kaya dengan unsur pengajaran dan nasihat. Pada bahagian 'Selupat Pucuk' memperkenalkan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di kampung yang dijadikan sumber pendapatan, seperti puisi, 'Pokok Gerek', 'Buah Kemunting', 'Daun Mempelas', 'Daun Getah' dan sebagainya. Tumbuh-tumbuhan tersebut begitu bermakna pada kehidupan masyarakat desa dan punca rezeki untuk membesar anak-anak. Pada bahagian 'Rumah' puisi-puisinya memaparkan di setiap ruang dalam rumah yang memberi keselesaan hidup sekeluarga. Puisi-puisi seperti 'Bantal', 'Tiang Seri', 'Tikar Getah Tikar Mengkuang', 'Tudung Saji', 'Kukuran' dan sebagainya. Objek-objek yang diangkat memberi makna yang tersembunyi.

Pada bahagian 'Sayur Lemak Pucuk Kemudu', penulis mengangkat isu makanan tradisional yang menjadi makanan kegemaran orang Melayu sejak kecil hingga dewasa. Puisi seperti 'Sayur Lemak Pucuk Kemudu', 'Nasi Dagang', 'Tepung Bungkus Mak Cik Jarah', 'Gulai Kawah' dan sebagainya banyak membawa unsur nasihat dan mendidik. Akhirnya bahagian 'Mimpi Kotaku' mengangkat gambaran hidup bermasyarakat dalam sebuah negara atau sebuah desa. Hidup bergotong-royong merupakan amalan yang diwarisi oleh masyarakat Melayu yang perlu diteruskan umpamanya puisi 'Tak Perlu', 'Menjadi Semut' dan sebagainya.

Demikian mesej yang disampaikan melalui kumpulan puisi Mimpi Kotaku banyak mengandungi unsur nasihat dan pendidikan. Banyak yang boleh dipelajari oleh generasi muda. Bahasa penyampaiannya mudah dengan pilihan diksi yang sesuai sehingga tidak menimbulkan ambiguiti. Imej-imej tradisional dan kehidupan masa lalu digarap dengan gaya yang menarik dan membawa pengetahuan dan pengajaran yang mendalam.

Atas faktor yang diberikan di atas ahli panel bersetuju kumpulan puisi Mimpi Kotaku diberikan HSPM 2014.

Disediakan oleh :
Dr. Misran Rokimin
Prof. Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak
Prof. Madya Dr. Bustaman Kamri

Friday, January 1, 2016

Puisi (2)


TEH O

Terlalu merah ertinya pekat
terlalu cair tak menjadi sedap
gula biar berpada
susu sepatutnya tiada
selagi panas usah dirasa.

Demikian teh o kalau dicuba
bukan kerana uncang
bukan kerana camca
boleh bawa berbincang
boleh bawa bersenda
sebelum minum
tiliklah dahulu cawannya.

Demikian teh o kalau dirasa
manis biar sedikit
atau seperti buah
dengan gula secubit
jangan terlalu bermewah
kalau dicelup roti
jangan asyik memuji
nanti roti tenggelam
teh o menjadi
tempat roti berendam.

HILMI RINDU
Kuala Nerus, Terengganu.
23 Disember 2015

Thursday, December 31, 2015

Keratan Akhbar

Bagaikan Ada Sesuatu
Oleh : Nazmi Yaakub
Berita Harian, Jumaat 23 April 2010


KUMPULAN puisi, Bagai Ada Sesuatu karya Hilmi Rindu dirakam menggunakan bahasa sederhana, tetapi daya renungan dan sifat perindu penyair memberi kekuatan kepada puisinya, sekali gus mengirim pesan serta falsafah di sebalik perlambangan alam dan pemerhatian puitis penyair itu.

Tidak sulit untuk menyelongkar rantaian puisi dalam bahagian Poskad Kenyir kerana Hilmi Rindu memberi tumpuan terhadap rakaman alam lestari dan tanah nostalgia dalam perjalanan hidup penyair sehingga pembaca seolah-olah dibawa menyusuri tasik, pantai dan pulau kehidupannya.

Hilmi Rindu tidak memaksakan puisinya itu untuk memperlihatkan diri sebagai pemikir, sebaliknya lebih selesa menjadi perenung yang mengimbau nostalgia ibarat si perindu yang membelek-belek poskad puisi yang ditulis di Tasik Kenyir, Bukit Mentok, Teluk Ketapang, Batu Burok dan Pulau Perhentian.

Bagaimanapun seperti perenung yang kadang kala mengeluh terhadap perbezaan masa lampau dan kini, penyair tidak terlepas daripada melontar kritikan sosial yang barangkali tidak disengajakan seperti dalam puisi Pulau Perhentian, Suatu Petang apabila menulis: Tetapi yang mengangkat bagasi/ dan membawa minuman/ sebahagian besarnya/ anak-anak Jawa/ dari tanah seberang.

Sifat perindu itu semakin tebal dalam bahagian Bingkisan yang memuatkan 28 puisi seolah-olah memperlihatkan penyair meronta-ronta dan terkial-kial untuk melepaskan diri daripada dakapan kerinduan terhadap nostalgia yang makin meninggalkannya.

Dalam Bingkisan Pulau, Bingkisan Hujan, Bagai Ada Sesuatu, Sesaat Sebelum Berangkat dan Sahabatku Kenangan umpamanya, diksi yang dipilih penyair menggambarkan hubungan penyair dengan nostalgia semakin jauh serta ada kalanya hanyut sehingga tidak dapat dijangkau lagi.

Memang ada falsafah yang cuba diselitkan oleh penyair, tetapi ia terendam dalam puisi yang kental dengan nostalgia itu seperti yang terangkum dalam Sahabat (i) dan Sahabat (ii), manakala dalam Terlanjur Berbicara pula, pembaca dibiarkan berteka-teki terhadap pesan penyair.

Penyair tidak boleh selama-lamanya menjadi perenung dan perindu yang tenggelam dalam nostalgia, sebaliknya perlu menjelma sebagai pemerhati dan pemikir yang meninggalkan pesan dalam puisinya untuk menjentik kemanusiaan pembaca.

Hal ini memang jelas dirakam dalam bahagian Memupuk Kemesraan meskipun sebahagian puisinya tidak sehalus dalam Poskad Kenyir dan Bingkisan kerana sangat terasa unsur didaktik dan kadangkala seperti memakai jubah propagandis.

Dalam puisi Bahasaku Seiring dan Bahasa Merdeka, pembaca dapat menghidu saranan yang berbentuk propaganda, meskipun hasrat penyair mungkin bernafas patriotisme dan kebanggaan terhadap bahasa ibunda.

Hal ini berbeza dalam puisi Sejalur Bahasa apabila Hilmi Rindu kembali kepada kekuatannya sebagai perindu, tetapi berupaya menyelitkan kebanggaan terhadap hasrat bangsa dan negara melalui kaca mata bapa yang melihat anak-anaknya bercerita, bersenandung, berseloka dan bermadah.

Dalam Biduk Bahasaku pula, penyair berbekalkan sifat perenung berjaya menjalinkan perlambangan alam dengan bahasa, meskipun pada akhirnya penyair tergesa-gesa meluahkan kebanggaan itu lewat rangkap yang berbaur propaganda.

Ada kalanya juga puisi dalam bahagian ini agak terburu-buru seperti Sesuatu Telah Tumbuh dengan penggunaan metafora yang janggal, iaitu bagai ikan-ikan berterbangan di udara dan bagai layang-layang liar yang meragut dan menghapuskan setiap sisa.

Dalam bahagian Catatan Lain pula, 68 puisi yang rencam digaul dengan nostalgia dan falsafah, pemerhatian dan penghormatan serta budaya setempat dan kemanusiaan sejagat.

Di sebalik kerencaman itu, ada puisi yang boleh mengejutkan jiwa yang merenungnya seperti Batu yang sangat pendek tetapi mendalam maksudnya: Dijulang menjadi tiang/ diangkat menjadi tugu/ dan disemadikan menjadi batu nisan, manakala Ranting pula sangat tuntas falsafahnya apabila mengungkapkan peranan ranting yang terselindung disebalik kecantikan dan kemanisan bunga.

Kumpulan puisi setebal 186 halaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berharga RM25 senaskhah, meletakkan penyair kelahiran Terengganu sebagai penyair yang konsisten dengan puisi yang sarat dengan pandangan hidup berasaskan budaya dan ingatan lampau.


Friday, December 4, 2015

Dari Luar Jendela

Nota Editor : Membina "Mimpi Kotaku"

Oleh : Ainunl Muaiyanah Sulaiman


Hilmi Rindu, namanya ini saya ikuti senyap-senyap. Tidaklah terlalu rapat dan tidaklah terlalu asing. Puisinya tenang seperti rakaman sajak T.Alias Taib dan saya fikir dia seorang penyair yang bagus tetapi sering tidak mendapat tempat di hati pembaca atau underrated writer.

Ketika disuguhkan manuskrip kumpulan puisinya oleh pihak pengurusan, yang awalnya berjudul "Pucuk Kemudu", saya terus mengatakan ya.

Setelah meneliti laporan panel beserta cadangan penambahbaikan, saya memutuskan untuk membuat rombakan major. Daripada 100 puisi, saya harus memilih hanya 50 yang terbaik dan judulnya juga harus diubah.

Saya menghubungi Hilmi Rindu, menyatakan letak duduk manuskripnya dan kemudian bertanya sama ada mahu memilih sendiri 50 puisi terbaiknya atau bagaimana? Hilmi Rindu telah memberi kebebasan kepada saya menguruskan manuskripnya serta meletakkan kepercayaan kepada editor. Saya jadi terharu dengan kerendahan hati penyair kelahiran Terengganu ini kerana menghormati kerja-kerja seorang editor yang mana editor itu juga menghormati karyanya.

Jadi, ini antara manuskrip awal dalam kumpulan puisi yang mana saya ingin membuat campur tangan secara besar-besaran daripada judul dan susunan puisinya.

Saya percaya, untuk kumpulan puisi atau kumpulan cerpen, ia harus disusun dengan rapi untuk memberi kesan dan impak kepada pembaca, seperti mana novel. Ada waktunya puisinya baik tetapi kerana susunannya dalam buku tidak konsisten memberi kesan lelah dan tidak emotif.

Pertamanya, sebelum "membedah", saya membaca kumpulan puisi ini sekurang-kurangnya tiga kali untuk mengambil mood serta memahami apakah sebenarnya inti/rasa yang disampaikan oleh penulisnya. Apakah persamaan yang mengikat dan menjadi tulang belakang kepada kumpulan puisi ini? Setelah meneliti, menimbang rasa (ewaaah), saya memutuskan kumpulan puisi ini tribute kepada kenangan zaman kecilnya serta juga serpihan kesepian seorang penyair. Buku ini banyak mengimbau kenangan membesar di Terengganu, kampung-kampung yang semakin hilang, permainan semasa kecilnya, keramahan dan keakraban orang kampung. Sememangnya itulah kekuatan puisi Hilmi Rindu, yang dekat dengan kenangan dan renungan. Dan saya pun memilih puisi yang menampakkan kekuatan suara kepenyairan Hilmi Rindu.

Saya memilih dengan agak lama, memakan masa beberapa hari sehingga seminggu, sebab bukan mudah untuk memutuskan yang mana harus masuk dan yang mana harus dikeluarkan, serta yang mana sudah masuk dan kemudian harus dikeluarkan, yang mana pernah terbit di akhbar tetapi kerana kelihatan lemah kalau disandingkan dalam buku. Harus juga diingatkan tidak semestinya semua yang terbit di media itu bagus dan yang tidak terbit itu tidak bagus. Ini pilihan yang menyeksakan sebenarnya.

Setelah selesai memilih, saya harus pula memikirkan judul buku ini. Dalam memilih judul buku, saya memikirkan judul buku juga harus mencerminkan keperibadian penulisnya. Tidak bolehnya judul yang ektravaganza tetapi isi tidak sebesar judul ataupun tidak kena dengan karakter penulisnya. Yang ini akan saya kembangkan di lain tulisan. Hilmi Rindu memilih "Pucuk Kemudu" mungkin untuk mencerminkan tentang kenangan zaman kecilnya. Tetapi yang menarik perhatian saya, adalah sebuah puisi yang berjudul, "Mimpi Kotaku". Puisinya berkisar tentang sebuah kota yang bermimpi sewaktu fikirkan merentasi isi keseluruhan kumpulan puisi ini dan walaupun bunyinya kedengaran moden, "Mimpi Kotaku" tidak seperti buku-buku Hilmi Rindu sebelum ini. Nestapa Membuai (1978), Memetik Gerimis (1989), Batas Impian (1991), Dusun Kemesraan (2002), Yang Jauh dan Dekat (2005), Segugus Embun (2005), Tiga Mata Serangga (2010), Bagai Ada Sesuatu (2010) dan Menyentuh Taman (2012), tetapi judul serta sajak "Mimpi Kotaku" itulah teras dan tulang belakang kepada puisi-puisinya. Saya kongsikan petikannya di sini.


          Ia sesekali ingin
          pulang ke asal kejadian
          sehingga termimpi-mimpi
          semak samunnya yang hijau
          menanung alam,
          ia terkenangkan sentul
          yang tidak pernah pun ditanam orang
          tetapi tumbuh subur menjulang,


Rangsang sari (blurb) buku ini saya buat khas untuk buku ini, dan antara rangsang sari yang paling saya senangi dan sukai, kerana mengapresiasi emosi penyair, Hilmi Rindu dan juga membuat tribute kepada kenangan zaman kecilnya. Dan rangsang sari ini juga mengikut susunan 4 fragmen dalam kumpulan puisi ini. Siapa kata susunan kumpulan puisi tidak boleh bercerita kepada pembaca, seperti mana novel? Walhal kumpulan puisi, ialah diari penulis yang dibaca secara terbuka dan besar-besaran. :)



          Kumpulan puisi remaja Mimpi Kotaku, Hilmi Rindu mengunjungi kenangan dan memori
          masa kecilnya dalam fragmen "Selupat Pucuk". Dia kembali menjadi anak kecil yang
          bermain dengan alamnya dan melukis sketsa kampung yang sederhana tetapi meriah.
          Kemudian diam-diam membangunkan fragment "Rumah" dalam ingatannya. Dari pintu
          rumah sehinggalah ke kain-kain yang tersimpan rapi di dalam almari, dia
          menggambarkan dengan menarik dan dekat dengan pembaca. Kemudian, dia menjelma
          dewasa dalam fragmen "Sayur Lemak Pucuk Kemudu" laksana seorang bapa yang
          berkongsi ilmu dan pengalamannya kepada anak-anak.


          Daripada mimpi yang jauh sehingga ke sepi yang penuh, Hilmi Rindu menyampaikan
          diri dan kenangan lalunya dalam bahasa yang langsung dan sederhana. Sebuah
          kumpulan puisi yang membawa kita ke dalam ingatan masa lalu.


Setelah itu, saya menghubungi Rasydan Fitri, designer yang punya nilai artistik dalam menterjemahkan judul-judul puitis ini, hihi kerana mungkin dia juga seorang penulis. Dalam memilih designer, tidak semua designer boleh dipaksa membuat design yang kita mahukan, apatah lagi kita sudah ada rujukan dan gambaran awal. Kalau tidak kena melantik designer, maka kulit buku tidak mencapai tahap yang diinginkan. Saya sudah terkena beberapa kali sebenarnya. Setelah beberapa siri perbincangan, Rasydan mengemukakan beberapa cadangan design yang sangaaaat cantik dan menangkap hati. Setiapnya ada perincian. Dan kulit pangsapuri terbalik itu menjadi pilihan akhir. Berikut deskripsi designer buku ini:


          Menggunakan gambar pangsapuri yang sendat, tetapi diterbalikkan (simbolik mimpi).
          Gambar pokok sebagai mimpi kota dan juga membesar sebagai simbolik penulis
          membesar.


Baru-baru ini, diumumkan buku ini memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (kategori Kumpulan Puisi Remaja). Saya mendapat tahu lebih awal sebenarnya apabila penulisnya menghubungi saya dan memaklumkan kemenangannya serta mengucapkan terima kasih kerana mengendalikan buku itu dan mencalonkan untuk HSPM. Ketika itu dia baru sahaja dihubungi DBP. Betapa mengharukan perasaan saya waktu itu, dihargai oleh penulisnya, dan musim-musim lelah mengendalikan buku itu terasa sangat berbaloi.


Sumber : https://www.goodreads.com/author/show/5411494.Ainunl_Muaiyanah_Sulaiman/blog