Bagaikan Ada Sesuatu
Oleh : Nazmi Yaakub
Berita Harian, Jumaat 23 April 2010
KUMPULAN puisi, Bagai Ada Sesuatu karya Hilmi Rindu dirakam menggunakan bahasa sederhana, tetapi daya renungan dan sifat perindu penyair memberi kekuatan kepada puisinya, sekali gus mengirim pesan serta falsafah di sebalik perlambangan alam dan pemerhatian puitis penyair itu.
Tidak sulit untuk menyelongkar rantaian puisi dalam bahagian Poskad Kenyir kerana Hilmi Rindu memberi tumpuan terhadap rakaman alam lestari dan tanah nostalgia dalam perjalanan hidup penyair sehingga pembaca seolah-olah dibawa menyusuri tasik, pantai dan pulau kehidupannya.
Hilmi Rindu tidak memaksakan puisinya itu untuk memperlihatkan diri sebagai pemikir, sebaliknya lebih selesa menjadi perenung yang mengimbau nostalgia ibarat si perindu yang membelek-belek poskad puisi yang ditulis di Tasik Kenyir, Bukit Mentok, Teluk Ketapang, Batu Burok dan Pulau Perhentian.
Bagaimanapun seperti perenung yang kadang kala mengeluh terhadap perbezaan masa lampau dan kini, penyair tidak terlepas daripada melontar kritikan sosial yang barangkali tidak disengajakan seperti dalam puisi Pulau Perhentian, Suatu Petang apabila menulis: Tetapi yang mengangkat bagasi/ dan membawa minuman/ sebahagian besarnya/ anak-anak Jawa/ dari tanah seberang.
Sifat perindu itu semakin tebal dalam bahagian Bingkisan yang memuatkan 28 puisi seolah-olah memperlihatkan penyair meronta-ronta dan terkial-kial untuk melepaskan diri daripada dakapan kerinduan terhadap nostalgia yang makin meninggalkannya.
Dalam Bingkisan Pulau, Bingkisan Hujan, Bagai Ada Sesuatu, Sesaat Sebelum Berangkat dan Sahabatku Kenangan umpamanya, diksi yang dipilih penyair menggambarkan hubungan penyair dengan nostalgia semakin jauh serta ada kalanya hanyut sehingga tidak dapat dijangkau lagi.
Memang ada falsafah yang cuba diselitkan oleh penyair, tetapi ia terendam dalam puisi yang kental dengan nostalgia itu seperti yang terangkum dalam Sahabat (i) dan Sahabat (ii), manakala dalam Terlanjur Berbicara pula, pembaca dibiarkan berteka-teki terhadap pesan penyair.
Penyair tidak boleh selama-lamanya menjadi perenung dan perindu yang tenggelam dalam nostalgia, sebaliknya perlu menjelma sebagai pemerhati dan pemikir yang meninggalkan pesan dalam puisinya untuk menjentik kemanusiaan pembaca.
Hal ini memang jelas dirakam dalam bahagian Memupuk Kemesraan meskipun sebahagian puisinya tidak sehalus dalam Poskad Kenyir dan Bingkisan kerana sangat terasa unsur didaktik dan kadangkala seperti memakai jubah propagandis.
Dalam puisi Bahasaku Seiring dan Bahasa Merdeka, pembaca dapat menghidu saranan yang berbentuk propaganda, meskipun hasrat penyair mungkin bernafas patriotisme dan kebanggaan terhadap bahasa ibunda.
Hal ini berbeza dalam puisi Sejalur Bahasa apabila Hilmi Rindu kembali kepada kekuatannya sebagai perindu, tetapi berupaya menyelitkan kebanggaan terhadap hasrat bangsa dan negara melalui kaca mata bapa yang melihat anak-anaknya bercerita, bersenandung, berseloka dan bermadah.
Dalam Biduk Bahasaku pula, penyair berbekalkan sifat perenung berjaya menjalinkan perlambangan alam dengan bahasa, meskipun pada akhirnya penyair tergesa-gesa meluahkan kebanggaan itu lewat rangkap yang berbaur propaganda.
Ada kalanya juga puisi dalam bahagian ini agak terburu-buru seperti Sesuatu Telah Tumbuh dengan penggunaan metafora yang janggal, iaitu bagai ikan-ikan berterbangan di udara dan bagai layang-layang liar yang meragut dan menghapuskan setiap sisa.
Dalam bahagian Catatan Lain pula, 68 puisi yang rencam digaul dengan nostalgia dan falsafah, pemerhatian dan penghormatan serta budaya setempat dan kemanusiaan sejagat.
Di sebalik kerencaman itu, ada puisi yang boleh mengejutkan jiwa yang merenungnya seperti Batu yang sangat pendek tetapi mendalam maksudnya: Dijulang menjadi tiang/ diangkat menjadi tugu/ dan disemadikan menjadi batu nisan, manakala Ranting pula sangat tuntas falsafahnya apabila mengungkapkan peranan ranting yang terselindung disebalik kecantikan dan kemanisan bunga.
Kumpulan puisi setebal 186 halaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berharga RM25 senaskhah, meletakkan penyair kelahiran Terengganu sebagai penyair yang konsisten dengan puisi yang sarat dengan pandangan hidup berasaskan budaya dan ingatan lampau.