Sunday, November 8, 2015

Kumpulan Puisi (2)

30 Sajak Di…
© Hilmi Rindu

(Diangkat dari kumpulan puisi Penternak Lebah, Alaf Ilmu 2015)


1.     Di dahan kecil

Sesuatu yang hinggap
di dahan kecil
hanya sekali
namun selamanya
jadi kenangan.


2.     Di hujung kalam

Di hujung kalam
jiwa berperang
antara batil
dengan kebenaran.


3.     Di atas batu

Maka jadilah tulisan
yang terukir
di atas batu
sebagai tanda
kematian.


4.     Di luar mimpi

Semua bererti
di luar mimpi
meski di antaranya
tidak menepati.


5.     D luar musim

Lalu lalang hanya berpaling
senyum
dan menjeling.


6.     Di tirai malam

Taman tergantung
di tirai malam
tika kau bangkit
menadah tangan.


7.     Di julai bambu

Angin berpaut
di julai bambu
seperti merasuk
meliuk lintuk.


8.     Di dahan setapi

Pohon dedalu
subur merendang
di dahan setapi.


9.     Di hutan senduduk

Di hutan senduduk
jangan disangka
tiada pelanduk.


10.   Di sangkar itu

Di sangkar itu
tekukur berlagu
hatinya hancur
di angin lalu.


11.   Di lambur tua

Di lambur tua
ibu menunggu
jiwanya tenang
tapi menderu.


12.   Di jantung kota

Di jantung kota
engkau berlari
antara mega
dan bunga berduri.


13.   Di mata ibu

Di mata ibu
engkau adalah segalanya
meskipun hatinya kauluka
sepanjang masa.


14.   Di luar kamar

Ada sesuatu
menunggu di luar kamar
dan di hujung mimpimu.


15.   Di jenang pintu

Sering saja harapan
berhenti di jenang pintu
meski langkahan kita
keluar masuk di situ.


16.   Diantara bunga

Seekor rama-rama
terbang di antara bunga
alam terpesona
melihat kecantikan warna.


17.   Di awan impian

Layang-layang
bermain di awan impian
sekilas melihat tali
hujungnya kejap di tangan si kecil.


18.   Di muka tasik

Kiambang berapungan di muka tasik
cahaya berkilauan bagai mengutip.


19.   Di istana bayangan

Siapakah raja dilantik?
siapaka raja merampas tahta?
siapakah raja
benar-benar berkuasa?


20.   Di negeri mimpi

Perjuangan apa pun di negeri mimpi
masih memerlukan waktu jaga
untuk memikir
dan menyerlahkan jawapannya.


21.   Di hujung pelangi

Seekor burung entah dari mana
sesat di hujung pelangi
lalu warna-warna yang berkilau itu
membalut seluruh tubuhnya.


22.   Di pantai kenangan

Bayu bertiup nyaman
di pantai kenangan.


23.   Di simpang tiga

Kita tiba-tiba bersua
di simpang tiga,
saudara hendak ke mana?


24.   Di dalam kereta api

Semua bergerak ke hadapan
walau bersendirian
di kerusi belakang.


25.   Di mata pisau

Yang berkilau
di mata pisau
bukan tatapan
tapi renungan.


26.   Di mata pancing

Hanya yang terpesona
terbenam di mata pancing.


27.   Di simpulan benang

Luka tak akan sembuh
di simpulan benang.


28.   Di gigi senja

Alam berbahagi warna
antara gelap
dengan cahaya.


29.   Di birai pantai

Perahu kecil
di darat terikat
di laut, bebas.


30.   Di lantai perahu

Diri hanyut
di lantai perahu
tatkala laut
berkucah lesu.


No comments:

Post a Comment